Wednesday, April 27, 2011

Kisah dongeng Zulaikha dan Nabi Yusuf dan realitinya

Assalaamu 'alikum,

Berpegang pada Al-Quran, saya ingin berkongsi dgn pembaca tentang penulisan saudara Abu Saif ini yang mana saya anggap benar dan tepat. Bagi saya kisah percintaan Zulaikha dan Nabi Yusuf itu tidak wujud. Ini soal maruah dan anggapan tidak betul boleh melibatkan kepincangan 'aqidah umat Islam. Baginda 'digoda' dan tiada langsung membayangkan apa-apa tentang kisah cinta di antara mereka. Kisah Nabi Yusuf a.s berakhir dgn pertemuan Baginda dengan keluarganya semula...itu saja.

Setiap kali kisah cinta Zulaikha dan Nabi Yusuf disebut di mana-mana majlis perkahwinan, maka terbayanglah di mata kepala saya seolah-olah pengantin lelaki pernah 'digoda' oleh pengantin perempuan maka itulah berkesudahannya di atas jinjang pelamin.

Wallaahu A'laam.

Ikutilah penerangan oleh Saudara Abu Saif di bawah ini.

Assalamualaikum WBT.
Segala masalah bermula, apabila kita tidak merujuk kepada sumber yang betul dalam memahami kisah Yusuf alayhi al-Salam. Sepatutnya kita kena disiplinkan diri dengan merujuk hanya kepada sumber-sumber yang sahih. Dan untuk kisah Yusuf, tidak lain dan tidak bukan adalah surah Yusuf sendiri dan sejumlah kecil hadith Nabi SAW yang sahih, berkaitan dengannya.

Perempuan yang kita namakan dirinya sebagai Zulaikha itu, hanya disebut oleh al-Quran sebagai imra’ah al-aziz (isteri kepada al-aziz i.e isteri kepada menteri utama). Nama Zulaikha itu tidak disebut oleh al-Quran mahu pun hadith-hadith yang sahih. Dari mana datang nama Zulaikha itu? Ia mungkin datang dari sumber Israiliyyat, biblical literature yang tidak perlu menjadi rujukan dan ambilan kita.
Itu soal nama.

Soal peribadinya, apa yang disebut di dalam Surah Yusuf ayat 20′an tentang watak perempuan itu memang benar. Dia adalah wanita bangsawan yang sangat buruk akhlaknya, bahkan bukan dirinya sendirian, malah wanita-wanita bangsawan yang lain juga berkongsi kejahatan yang sama. Allah bukan hanya menonjolkan kejelekan watak imra’ah al-’aziz semata-mata, malah keburukan budaya golongan bangsawan itu sendiri.
Tetapi kita kena ingat, apabila al-Quran menceritakan tentang keburukan perempuan ini, cerita itu ada tujuan dan maksud.

Pertamanya, Allah telah menunjukkan kelemahan suaminya sebagai pemimpin tertinggi Mesir, tetapi dayus hingga tidak mampu mengawal tingkah laku isterinya sendiri. Ada banyak teladan di sini terhadap kualiti kepimpinan yang boleh kita perhatikan. Mampukah lelaki yang gagal mengawal isteri, mengawal sebuah negeri?
Harus juga diingat, perempuan itu adalah isteri al-aziz yang merupakah pegawai tertinggi di dalam kerajaan pemerintah Mesir. Akan tetapi di sisi al-aziz ada Raja yang menjadi tunggak negara. Raja ini kelihatannya tidak terbabit di dalam konspirasi memenjarakan Yusuf, bahkan beliau bertindak membuka kembali kes Yusuf selepas 3 hingga 9 tahun Yusuf dipenjarakan sebagaimana keterangan ayat 50 Surah Yusuf, serta ayat-ayat sebelumnya.

Raja ini bukan Firaun, watak pemerintah Mesir di era Musa kemudiannya.

Keduanya, Allah SWT juga mahu menunjukkan ketinggian keperibadian Yusuf yang memilih penjara, berbanding tunduk kepada kehendak perempuan itu (Zulaikha) dan ‘datin-datin’ yang bersama dengannya. Pendirian Yusuf ini mempunyai hikmah yang besar, malah turut memberikan impak kepada wanita-wanita bangsawan itu yang kemudiannya diceritakan Allah di ayat 51 hingga 53 Surah Yusuf. Inilah kekuatan TINDAKAN berbanding PERCAKAPAN. Ia juga mengajar kita mempositifkan musibah yang menimpa diri, bahawa ujian Allah datang dengan hikmah dan kebaikan. Kitalah yang mesti bijak mencarinya.

Ketiga, Allah SWT juga mahu menunjukkan bagaimana manusia itu biar sejahat mana pun dia, harapan untuknya berubah tetap ada. Ketegasan Yusuf mempertahankan diri dari tunduk kepada kehendak perempuan itu telah menyebabkan dirinya berfikir panjang, melakukan muhasabah diri dan akhirnya bertaubat, hingga mengakui kesalahan-kesalahannya, membersihkan nama Yusuf dan memohon ampun dari Allah.
Semuanya dikisahkan di dalam ayat 51 hingga 53 Surah Yusuf.
Kelihatannya di dalam ayat itu, Allah SWT telah memberi hidayat dan mengampunkan perempuan berkenaan (Zulaikha). Seandainya dia telah bertaubat, dan Allah telah mengampunkan kesalahannya yang lalu, siapa pula kita untuk terus mencela si ‘Zulaikha’ dengan mengungkit-ungkit kesalahannya hingga digelar perempuan pelacur, jalang dan sebagainya. Apakah kita mahu melampaui keputusan Allah?
Janganlah dalam usaha kita membetulkan kesilapan, kita buat kesilapan yang lebih besar. Jangan ulangi apa yang telah dilakukan oleh Ibrahim Ali Sya’wat di dalam bukunya, Abatil Yajib an Tumha min al-Tarikh. Tatkala mahu membersihkan sejarah Islam dari kesalahan fakta, kesalahan lain pula yang dilakukannya

Pengajarannya juga ialah, di dalam kehidupan seharian kita, jangan kita bermudah-mudah mengungkit kesalahan orang lain. Ketika mana dirinya mungkin sudah bertaubat dan diampunkan Allah, kita pula mahu membuka semula kes tersebut dan membuat pengadilan sendiri. Tercelalah manusia seperti ini yang menganggap kotor manusia yang telah dibersihkan Allah.
Ingatlah, memanggil penzina yang telah bertaubat dan dihudud dengan gelaran “hoi penzina!”, adalah kesalahan jenayah yang juga diperuntukkan Syara’ hukuman ke atasnya.

MASALAH DOA PENGANTIN “YUSUF DAN ZULAIKHA”
Masalah doa Yusuf dan ‘Zulaikha’ itu tidak boleh kita justifikasikan sebab tiada keterangan al-Quran mahu pun Hadith Nabi SAW bahawa Yusuf berkahwin dengan ‘Zulaikha’.
Kisah cinta romantis mereka berdua, kuatnya ibadah Zulaikha hingga hilang penglihatan disebabkan oleh banyaknya tangisan dia kerana takutnya diri kepada Allah dan yang seumpama dengannya, adalah drama yang mungkin penuh emosi, tetapi hakikatnya ia sebuah persembahan yang tiada asal usul.
Selepas ayat 53 Surah Yusuf, Allah SWT tidak ada lagi menerengkan apa-apa tentang ‘Zulaikha’. Begitu juga dengan hadith-hadith Nabi SAW yang sahih. Kisah imra’ah al-’aziz (Zulaikha) itu tamat dengan pengakuannya di hadapan raja, untuk membersihkan maruah Yusuf dari pertuduhan yang selama ini menjadi punca Nabi Allah itu dipenjarakan.

HAKIKATNYA
Surah Yusuf adalah rakaman kisah perjuangan seorang rasul bernama Yusuf, dan bukannya epilog cinta romantis sang merpati yang disandingkan dalam angan-angan kita sebagai Yusuf dan Zulaikha!

Habis, dari manakah datangnya kisah cinta Yusuf dan ‘Zulaikha’ itu? Dari mana datangnya doa pengantin itu?

Dari mana datangnya lirik nasyid dan syair yang memuji cinta itu?

Saya tiada jawapan mengenainya, tetapi kepada yang menceritakannya, tanyalah kepada dia Min aina laka hadza (Dari mana kamu dapat benda ni?)

Wallahu A’lam.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Friday, October 29, 2010

Kesopanan dan Kesusilaan

Saya masih ingat sewaktu di sekolah menengah dahulu, pada masa itu pemilihan Ketua Pengawas baru akan diadakan....biasalah....mula-mula penamaan calon....Beberapa hari sebelum tiba hari mengundi, semua calon terpilih akan memulakan kempen....dan seperti biasa juga....tiap-tiap calon yang bertanding akan diberi peluang untuk menyampaikan ucapan pada hari yang telah ditetapkan. Calon lepas calon mengikut giliran berucap sambil melahirkan kesanggupannya untuk menaikkan imej sekolah .... kalau boleh satu dunia akan mengenali keistimewaan sekolahnya!

Dengan penuh semangat apabila seoarang calon memberi ucapan, murid-murid yang menyokong akan menepuk tangan, bersorak dengan apa saja cara untuk menzahirkan dirinya seorang penyokong setia....dan akhir sekali berkesudahan dengan aman dan tercapai satu rasa kepuasan pada semua pihak yang terlibat. Puas selepas mendengar calon yang mereka sokong itu telah menyampaikan pesanan terakhirnya, walhal kalau nak dikirakan kebanyakan murid-murid termasuklah diri saya sendiri tidak pernah pedulipun siapa sebenarnya calon ketua yang saya pilih....main boh aje! Saja nak seronok-seronok duduk lepak kat gelanggang tu, sekurang-kurangnya masa tu tak payah belajar...! Kalau nak di ambil kira sebenarnya tiada apa yang boleh saya popularkan pada calon yang saya pilih. Kalau saya dipilih untuk bagi ucapan, saya pun akan merapu macam depa tu jugak. Itu di zaman persekolahan.

Apabila tamat segala peringkat pengajian, saya dan semua yang sama aliran dengan kehidupan saya berdepan lagi dengan suasana yang hampir serupa....mendengar calon berucap, berkempen dan mengundi. Cuma yang berbeza mesej yang terkandungan di dalam teks yang disampaikan oleh calon-calon yang bertanding. Kalau di zaman sekolah dahulu rata-rata calon Ketua Pengawas menyampaikan mesej 'sesuatu yang dia janji nak buat' tetapi calon yang kali ini, (sewaktu saya menjadi lebih matang, dengan harapan orang lain juga turut matang....) saya dengar bakal calon-calon pemimpin lebih suka bercerita pasal lawannya yang dilihat seperti 'musuh' dalam politik. Mendedahkan apa yang lawannya tak boleh buat atau 'buka pekong lawan' sudah menjadi 'trend' ahli politik tanahair.

 
Budaya orang Melayu yang biasa dihebohkan sebagai bangsa beradab dan bersopan santun penuh budi pekerti telah bertukar rentak ketika berkempen. Selingan tohmahan, sumpahan, hasutan, mengaibkan dan mendedah hal-hal keperibadian orang lain sudah menjadi suatu yang biasa didalam kehidupan Melayu....Bagi saya....muak mata memandang, berbulu telinga mendengar. Satu bangsa Melayu sudah membiak menjadi dua tiga bangsa Melayu lain aliran tanpa sebab yang boleh diterima oleh akal. Penyokong kebanyakannya 'taksub' kepada pemimpin dan pemimpin pula menjadi 'lebih ghairah' di hadapan penyokong dan bersuara lantang. Dan yang paling memalukan ada menteri yang mendabik dada menyebut-nyebut dirinya berkedudukan lebih tinggi dari rakyat biasa. Kalau tidak silap saya, kalau tidak kerana rakyat yang sudi memilih, dia pun setaraf dengan orang biasa, sama-sama kena bayar di laluan bertol. Sudah mula 'lupa' pada asal-usul kejadiannya....kebayakannya keluar dari 'lubang yang menjijikkan' pada segi teori walaupun disebaliknya pada praktikal.
 
Matlamat 'bekerja untuk rakyat' sudah berubah menjadi 'ketuanan kepada rakyat' dek terlalu diampu oleh rakyat sendiri. Terlalu banyak keistimewaan dan kemewahan diberikan dan dianugerahkan kepada seorang pemimpin. Keistimewaan dan kemewahan itulah menjadikan orang yang di sebelah bawah berebut-rebut untuk naik ke atas. Apabila sudah berada di atas bermati-matian pula dia nak mempertahankan kedudukannya supaya tidak jatuh semula ke bawah. Sebenarnya, Allah swt mampu menarik balik anugerah pangkat dan hartanya bila-bila masa yang Dia suka. Buktinya, sudah berapa ramai hamba Allah yang baru nak mencapai kemuncak kejayaannya, tiba-tiba di dahului oleh ajalnya! 
 
Saya tidak berminat untuk menyebelahi sesiapa. Samada dia seorang yang kuat agama ke, orang sederhana dalam agama ke, tak ada agama ke....mereka semuanya serupa. Kalau dah terjun ke dalam kelompok politik, dia adalah ahli politik. Dia solat ke, sembahyang ke, tak solat ke, kaki perempuan, dia tetap serupa....ahli politik tetap ahli politik! Satu kapal ada bermacam-macam rupa dan ragam penumpangnya. Cuma yang membezakan dia dari yang lain pada perhatian saya....tujuan dia menaiki kapal tersebut.

Budaya Melayu Islam yang dikatakan 'bersopan santun' sepatutnya dipraktikkan semula. Hanya Budaya Melayu Islam di dunia yang mengajar tetang kesopanan yang luar biasa. Membongkokkan badan apabila melintas dihadapan orang yang lebih tua adalah sesuatu peradaban yang tidak pernah dilakukan oleh bangsa lain di dalam dunia ini. Dan hanya orang Melayu yang mencipta 'bahasa peradaban khas' ketika berhadapan dengan Raja-raja Melayu dan pemimpim-pemimpin negara.

Sebenarnya Rasulullah saw jua adalah sebaik-baik contoh yang dijadikan oleh Yang Maha Mulia sekelian Pencipa Alam untuk diteladani oleh umat Islam di seluruh dunia, tiada berkecuali. Baginda Rasulullah sangat bersopan, beradab dan kita sebagai orang Islam hanya patut 'taksub' kepada keperibadian Baginda didalam menjalani kehidupan harian semasa bekerja, berkeramaian, bersukan, sewaktu melayani keluarga dalam semua aspek kehidupan keluarga dan bermasyarakat....Wallahu A'lam.